Kamis, April 18, 2024

Bahasa dan Sastra Membangun Akal Budi

BAHASA adalah cerminan fikiran bangsa. Bahasa juga pancaran akal budi bangsa. Oleh itu sebagai bangsa dan insan yang dianugerahkan dengan kebolehan berbahasa, berbahasalah dengan baik sama ada melalui lisan dan juga tulisan. Jika kita tidak berbahasa dengan baik, kita dikatakan sebagai kurang ajar yaitu ibu bapa dan guru tidak mengajar kita dengan kesantunan berbahasa.

Isu bahasa memang selalu menjadi isu hangat apabila ia dipolitikkan. Begitu juga jika kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa resmi dan bahasa kebanggaan dipertikaikan. Lantaran itu, jangan sesekali kita mempolitikkan isu bahasa untuk kepentingan diri dan juga parti. Gunakan bahasa sebagai alat ke arah perpaduan bangsa.

Lama dahulu, sejarah membuktikan para pejuang dan penulis berbahasa Melayu telah memberikan kedudukan yang istimewa dengan kedudukan dan sejarah bahasa Melayu sebagai Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan kini Bahasa Melayu Moden. Sejarah dan perkembangan bahasa Melayu telah terbukti dan tidak perlu dipertikaikan kewibawaannya.

Sebagai fahaman dan ingatan kepada semua, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 telah menjelaskan – Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud resmi: Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan berhubung dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud resmi.

Perlu diingatkan dan dijelaskan fungsi bahasa Melayu modern kini adalah sebagai bahasa resmi, bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi dalam media sosial dan media baharu, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu seiring dengan kemajuan dan perkembangan zaman.

Tidak heranlah Bahasa Melayu dan sastera berbahasa Melayu berperanan membangunkan akal budi bangsa. Berkaitan akal budi bangsa, ia menjurus kepada akal dan pemikiran, budi bahasa, kesantunan berbahasa, dan kebijaksanaan dalam berfikir dan berbahasa.

Memetik pandangan ahli falsafah Yunani, Socrates yang mengatakan, akal itu tidak lain daripada alat bagi mencari kebenaran dan kenyataan. Manakala berkaitan budi, pandangan William Hazlit mengatakan, budi pekerti yang sederhana adalah hasil daripada fikiran yang mendalam.

Oleh itu, jelaslah akal budi dapat dibentuk melalui bahasa dan sastera yang bernilai tinggi dan juga bermanfaat kepada masyarakat. Keindahan Bahasa Melayu dan sastra Melayu sudah lama terbukti mendidik akal budi masyarakat menjadi orang budiman.

Justeru, orang yang budiman selalu memikirkan apa yang diucapkan dan dituliskan terlebih dahulu dan kesannya kepada orang lain terutama dalam era globalisasi dengan kepantasan media baharu dan media sosial yang menjadi alat dan komunikasi penting dalam kehidupan masa kini.

Dalam era teknologi digital, janganlah sesekali tangan gatal untuk menulis perkara yang tidak baik seperti menyebarkan fitnah, menyebarkan berita yang tidak sahih, mengutuk dan mengeluarkan kata-kata kesan. Kita dididik supaya sentiasa menjaga kesopanan berbahasa di mana sahaja.

Menjaga bahasa lisan dan tulisan adalah tanggungjawab kita sendiri dan apabila berbahasa baik dan santun tentulah akan mendapat ganjaran pahala.

Melalui pemupukan dengan mencintai Bahasa Melayu dan memanfaatkannya sebagai bahasa komunikasi yang berkesan, tepat dan betul mestilah diteruskan oleh semua pihak. Sebagai warga negara yang cinta akan Bahasa Melayu, teruslah berusaha memberikan nilai kepada bahasa Melayu dengan nilai ekonomi, nilai politik, nilai pentadbiran dalam setiap urusan rasmi, juga nilai sentimen menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana menimbulkan kesedaran kebangsaan.

Begitu juga dengan nilai sosial mereka yang dipilih oleh rakyat kerana fasih berbahasa Melayu dan sentiasa berbahasa Melayu dalam penulisan dan juga ucapan rasmi.

 

 

 

 

Related

KUHP Tidak Berlaku untuk Kegiatan Kemerdekaan Pers

Kupas News, Jakarta - Walaupun Rancangan Undang-undang (RUU) Kitab...

Modus Mafia Tanah di Ruang Peradilan

Oleh : Elfahmi Lubis Mafia Tanah sudah menggurita dan telah...

Kaum “Rebahan” Ditengah Isu Kerakyatan

Dimana posisi kaum "rebahan" atau kaum "mager" yang didominasi...

Polemik RUU Sisdiknas, Maksimalkah Uji Publik?

Oleh: Dr. Emilda Sulasmi, M.Pd Mencermati draft Rancangan Undang-Undang Sistem...

Kiprah Parsadaan Harahap Hingga Duduki KPU RI

Sosok Persadaan Harahap atau yang sering disapa bang parsa,...